Oleh: Zahir Senapiah.
PONTIAN: Jabatan Alam Sekitar Johor menyerbu dan menyita sebuah kilang yang mengumpul dan memproses bahan elektrik dan elektronik terpakai di Pekan Nenas, dekat sini, pagi tadi.
Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kilang berkenaan pernah disita lima tahun lalu.
Namun kembali beroperasi secara haram dan mengaji pekerja asing yang juga pendatang tanpa izin.
Katanya, bertindak atas aduan awam, 20 pegawai dan anggota pelbagai agensi menyerbu kilang berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi.
Ia susulan aduan orang ramai pada 28 Mac lalu mengenai pencemaran asap dan bau busuk dari kilang berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati kilang ini menjalankan aktiviti mengumpul dan memproses bahan buangan berjadual.
Katanya, siasatan awal mendapati pencemaran bau berpunca daripada proses pengasingan bahan buangan terbabit yang mengeluarkan asap.
Bagaimanapun tiada sebarang alatan kawalan pencemaran udara dipasang bagi mengawal pencemaran bau berkenaan.
Turut direkodkan keterangan seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai kerani.
Manakala sembilan pekerja lain termasuk seorang wanita warga asing diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Pihaknya turut mengambil sampel buangan bahan berjadual di kilang berkenaan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.