Tumpuan :
Nasional

Kilang haram digempur Op Hazard mungkin ada kaitan sindiket jenayah

Saifuddin Nasution Ismail mengadakan tinjauan penemuan lebih 50 tan peluru dan kelongsong peluru di sebuah kilang e-waste di Telok Panglima Garang di sini hari ini

.Oleh: Fareez Azman

KUALA LANGAT: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak dakwaan kilang haram sisa elektronik atau e-waste yang digempur pihak berkuasa di seluruh negara sejak Februari lalu dalam Op Hazard didalangi oleh sindiket jenayah.

Tegasnya, pelbagai aspek siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis termasuk elemen berkenaan.

“Saya tidak menolak kemungkinan itu, sebab itu memang dalam radar pihak polis, walaupun kami bermula siasatan dibawah Akta Senjata Api 1960, tapi kita tidak menolak kemungkinan semakin mendalam siasatan, semakin menarik penemuan kita nanti.

“Sebab itu saya tidak menolak dan operasi sebegini besar rangkaian seluruh negara, serbuan serentak 46 premis dan masih ada lagi premis kita kenal pasti, tentunya ia tidak melibatkan secara individu dan secara terpisah.

“Itu biar kepakaran polis, saya tidak mahu menimbulkan spekulasi tapi boleh saya katakan kita tidak menolak elemen seperti disebut rakan saya saudara Nik Nazmi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini yang mendakwa kebanyakan kilang memproses sisa elektronik dikesan dimiliki samseng dan dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket pengubahan wang haram.

Ujar Saifuddin, risikan mendapati masih wujud premis menjalankan operasi memproses sisa e-waste secara haram, meskipun operasi besar-besaran telah dilancarkan.

“Kita mengesahkan masih ada lagi premis beroperasi seperti ini dalam radar kita. Kita akan tengok punca kemasukannya di pelabuhan mana, proses penghantarannya, sebab kita akan tengok semua dokumen, senarai inventorinya semua,” katanya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan terhadap penemuan lebih 50 tan sisa peluru, jelasnya siasatan pelbagai aspek sedang dijalankan termasuk sudut keselamatan.

“Kita tidak hanya tertumpu kepada penemuan peluru dari aspek sisa (peluru), sebab jumlah agak besar jadi kita perlu lihat semua aspek terutama dari sudut keselamatan.

“Kita tengok semua sebab peluru jumlah besar, kita tengok semua sudut sama ada peluru itu dah luput ke, biar polis lengkapkan siasatan. Bukan hanya kesalahan (kilang ini) memproses sisa elektronik dari luar negara, juga penemuan peluru ini polis tengok dari perspektif keselamatan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan penemuan lebih 50 tan peluru dan kelongsong peluru di sebuah kilang e-waste di Telok Panglima Garang di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini