IPOH: Bangunan kilang penyedia penjagaan kesihatan dan farmaseutikal Hovid di Jalan Kuala Kangsar di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.25 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian.
Beliau berkata, operasi pemadaman itu turut dibantu BBP Simpang Pulai dan Pasir Putih, serta Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru dan Bercham membabitkan seramai 51 anggota.
“Setibanya di lokasi, terdapat kebakaran kilang membabitkan bangunan kelas A berkeluasa 70 kaki x 60 kaki terbakar dalam lingkungan 80 peratus.
“Terdapat bahan kimia seperti klorin dan alkohol di dalam bangunan itu dan disyaki mengalami kebocoran,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut berada di lokasi kejadian bagi mengenal pasti tahap kebocoran dan setelah dikenal pasti bacaan 100 PPM bagi ammonia untuk bacaan pertama dan bacaan 0 PPM untuk klorin.
“Pasukan Hazmat melaksanakan semburan air di kawasan kejadian untuk memastikan kawasan itu benar-benar selamat. Bacaan kali kedua untuk ammonia 20 PPM, di mana kawasan berkenaan diisytiharkan selamat dan operasi ditamatkan pada 2.07 pagi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.