comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kilang edar stoking ada kalimah Allah tutup operasi hari ini

BATU PAHAT: Kilang yang terpalit dengan kontroversi isu pengedaran stoking tertera kalimah Allah di sini, menutup operasinya hari ini, iaitu selepas sehari pihak polis menjalankan pemeriksaan di premis itu.

Premis yang terletak di kawasan perindustrian Sri Gading, ditutup sebaik pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan terhadap kebimbangan mereka mengenai kebocoran data peribadi pegawai di syarikatnya serta ancaman mahu membakar kilang terbabit.

Pengurusan kilang itu meletakkan notis penutupan di pintu utama tanpa memaklumkan bila pengoperasian semula syarikat itu akan disambung.

Bagaimanapun, penutupan itu dipercayai untuk meredakan keadaan, serta keselamatan pekerjanya selepas menerima tekanan serta desakan supaya membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakan dilakukannya.

Terdapat satu kain rentang digantung pada pagar utama kilang terbabit yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian berkaitan stoking memaparkan kalimah Allah yang ditemui di KK Mart Bandar Sunway, baru-baru ini.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian itu hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” demikian tulisan yang tertera di kain rentang terbabit.

Dalam permohonan maaf itu, pihak pengurusan menyenaraikan tiga perkara utama antaranya berjanji atas komitmen untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

Semalam, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.

Namun, hasil pemeriksaan mendapati, kelima-lima stoking itu adalah yang dipulangkan tiga kedai KK Mart ketika mula-mula tercetus kontroversi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sehingga hari ini, pihak sudah menerima sembilan laporan polis dibuat dalam daerah ini.

Beliau berkata, setakat ini polis masih menjalankan siasatan termasuk merakam percakapan mereka terbabit dalam mengendalikan operasi kilang terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini