Oleh: Kumaran Rajamoney
KUALA KETIL: Sebuah kilang bihun jenama popular mengalami kemusnahan dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian di sini, awal pagi tadi.
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Rahimi Ali dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 3.26 pagi.
Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bersama jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Sungai Petani, Amanjaya dan Kulim Hitech dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas A. Tindakan pemadaman kebakaran dilakuakn menggunakan 6 aliran 6 pancutan dari kiri dan kanan bahagian hadapan bangunan.”
“Api yang marak berjaya dikawal sepenuhnya menjelang jam 5.20 pagi. Kerja-kerja overhaul kemudiannya dijalankan di lokasi,” katanya.
Kerja pemadaman dilakukan dengan kekuatan 40 anggota, dan turut dibantu pasukan bomba sukarela berdekatan.