Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM: Sebuah kilang barangan kitar semula musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Ringan Alma, di sini, malam semalam.
Tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.37 malam.
Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam tiba di lokasi, dibantu BBP Sungai Bakap dan BBP Batu Kawan.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses barangan kitar semula dengan anggaran keluasan 300×100 kaki persegi.
“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran sebanyak 60 peratus dan kebakaran telah dapat dikawal.
“Tindakan operasi pemadaman dilakukan dengan kaedah “defensive” dan “offensive” serta “fire break” dilakukan bagi menyekat kemerebakan.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kerja-kerja “overhaul” telah dimulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi telah tamat dan diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.