Tumpuan :
Nasional

Kilang barangan kitar semula diceroboh sebelum terbakar

Anggota BBP Sungai Petani memadam kebakaran sebuah kilang barangan kitar semula di Taman Ria yang musnah, awal pagi tadi.

SUNGAI PETANI: Kilang barangan kitar semula yang musnah dalam kebakaran di Taman Ria, awal pagi tadi pernah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah tahun lalu.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis itu disita dalam operasi yang turut disertai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram buangan e-waste.

Beliau berkata, premis itu disiasat mengikut Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar buangan terjadual dan menjalankan aktiviti pemerolehan kembali luar tapak tanpa mendapat sebarang lesen daripada JAS.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti pemerolehan kembali luar tapak tanpa Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Selain itu, kilang itu juga disiasat mengikut Seksyen 34B (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai JAS turut melakukan pemeriksaan di kilang yang musnah terbakar

Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah menerima pemakluman kejadian kebakaran premis kitar semula daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang disalurkan menerusi JAS Cawangan Sungai Petani.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan premis terbabit yang menyimpan buangan terjadual itu terbakar pada awal pagi dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan.

“Berdasarkan maklumat lanjut, premis itu diceroboh dan dirompak malam tadi dan berkemungkinan untuk tujuan mendapatkan logam dan barangan lusuh.

“Premis kemudiannya didapati terbakar pada awal pagi dan satu laporan polis dibuat oleh pemilik premis berikutan kejadian terbabit,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah juga turut membuat laporan polis berkaitan kes pencerobohan, kecurian dan kebakaran terbabit.

“Punca kebakaran masih disiasat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah,” katanya.

Terdahulu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Fataf Amdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.35 pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini