Tumpuan :
Nasional

Kilang baja di Bagan Tengkorak diarah tutup serta-merta kerana busuk dan tiada lesen mengilang

Sebuah penjana kuasa elektrik dan sebuah forklift disita Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) daripada sebuah kilang baja di Bagan Tengkorak, semalam. – FOTO: NSTP / Ihsan MPKS

TANJONG KARANG: Sebuah kilang baja di Bagan Tengkorak, di sini, diarah tutup serta-merta, semalam selepas gagal menyediakan persekitaran yang bersih sehingga menimbulkan gangguan bau busuk.

Pengarah Jabatan Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi dijalankan susulan aduan orang awam mengenai gangguan bau busuk yang dihasilkan kilang berkenaan yang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kilang ini beroperasi di lokasi yang terlindung dengan aktiviti pertanian.

“Selain diarahkan tutup serta-merta, kilang ini dikenakan kompaun berikutan kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang. Sitaan turut dikenakan membabitkan sebuah penjana kuasa elektrik dan sebuah ‘forklift’.

“Kami pernah mengambil tindakan ke atas kilang ini dengan menyitanya pada 14 Jun tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Lutfi berkata, semalam, MPKS menjalankan operasi bersepadu ke atas kilang terbabit dengan kekuatan 35 anggota bermula jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari.

Katanya, pihaknya turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Kes disiasat mengikut UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini