comscore
Tumpuan :
Nasional

Kibar bendera negara asing: MCMC ambil keterangan ADUN Gunung Semanggol

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan dua individu atas hantaran yang didakwa bersifat palsu dan jelik yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Haji Razman Zakaria.’

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria diambil semalam manakala pentadbir akaun Facebook berkenaan diambil keterangan hari ini.

“Hantaran yang dimaksudkan itu melibatkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman termasuk isu kibaran bendera negara asing semasa perarakan sambutan ‘Malaysia Guang Ze Zun Wang Cultural Festival 2024’ baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, satu notis telah dihantar kepada wakil rakyat tersebut untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi yang antara lain bersifat mengancam, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pasukan penguat kuasa MCMC turut menyita kelengkapan komunikasi milik pentadbir akaun terbabit iaitu masing-masing satu unit telefon bimbit dan satu unit kad sim yang digunakan bagi membantu siasatan.

“Pihak MCMC mengingatkan masyarakat supaya sentiasa cakna dan berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam terutamanya isu 3R.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini