Tumpuan :
Nasional

Khemah dihempap pokok: Seorang remaja patah kaki, 2 cedera

 

IPOH: Seorang remaja lelaki patah kedua-dua belah kaki manakala dua lagi cedera ringan selepas khemah tempat mereka berteduh ditimpa pokok kelapa sawit yang tumbang semasa hujan ribut di Kampung Sungai Kuning, Selama, kira-kira 112 kilometer dari sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian yang menimpa ketiga-tiga mangsa yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 20 tahun itu berlaku pada pukul 1:44 tengah hari.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga remaja tersebut sedang berteduh disebabkan hujan ribut di bawah sebuah khemah kanopi semasa menghadiri satu majlis perkahwinan di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, pokok kelapa sawit yang terdapat berdekatan khemah itu telah tumbang dan menghempap ketiga-tiga mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Sabarodzi berkata operasi melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama yang mengambil masa sekitar 12 minit untuk menyelamatkan ketiga-tiga mangsa.

“Ketua operasi telah mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja pemotongan batang pokok yang menghempap salah seorang mangsa menggunakan peralatan gergaji berantai,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang mengalami patah kedua-dua belah kaki itu telah diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini