KANGAR: Seorang pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah menengah di daerah Kangar, cedera di kaki selepas terjatuh dari bumbung tingkat satu sebuah bangunan di sekolah itu.
Kejadian dipercayai berpunca akibat pelajar berkenaan menjadi khayal selepas menghisap vape yang dibawanya ke sekolah.
Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi di bangunan blok pelajar tingkatan dua sekolah itu
“Berdasarkan keterangan pelajar itu, dia ada menghisap vape dalam kelas ketika hujung waktu rehat sedang berlangsung di sekolah itu dan ekoran perbuatannya itu, dia kemudian berasa khayal.
“Dia kemudian turun dari tingkat satu bangunan sekolah itu menggunakan laluan bumbung namun akibat rasa khayal yang menguasai dirinya itu maka dia terjatuh ke tanah dan mengalami luka ringan di kakinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, selepas terjatuh dan cedera pada kaki, pelajar berkenaan dilihat menjadi tidak terkawal dimana dia meracau sehingga memaksa pentadbiran sekolah menghubungi polis.
“Polis kemudian membawa pelajar berkenaan ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan selanjutnya dimana pelajar berkenaan diuji untuk saringan dadah namun keputusan ujian air kencingnya mendapati dirinya negatif dari pengaruh bahan terlarang itu.
“Pelajar itu kemudian dibawa pulang oleh warisnya dan dia kini sudah berada dalam keadaan stabil dan waras,” katanya.
Rose Aza berkata, sehubungan itu pihaknya bersama sekolah berkenaan sedang bekerjasama bersama polis dalam menyiasat perkara ini.
“Di pihak jabatan, kita sudah arahkan sekolah menerusi guru disiplin sekolah itu untuk menyiasat serta mencari pembekal vape itu serta melakukan ‘follow-up’ terhadap ujian air kencing pelajar berkenaan sebelum menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
“Kita turut bekerjsama dengan polis dan sudah mendapat pengesahan kejadian dan kita akan membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal serta tindakan yang akan diambil Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) berhubung kes vape ini dan mangsa juga akan terus dibantu bagi memastikan pelajar ini pulih semula,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes berkenaan masih disiasat.
Menurut sumber difahamkan vape yang digunakan oleh pelajar berkenaan ada vape jenis ‘flavour mushroom’ yang kini menjadi trend penggunaanya dalam pelajar sekolah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.