BATU PAHAT: Semua khatib di negeri ini diwajibkan untuk menggunakan atau membaca serta menyemak teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam (JAINJ) bagi mengelak berlaku kesilapan ketika solat Jumaat.
Ingatan itu rentetan solat Jumaat kariah 16 masjid di Rembau, Negeri Sembilan ditafsirkan tidak sah pada 8 November lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perkara ini diguna pakai di Johor sejak sekian lama di mana pengerusi masjid atau khatib perlu menyemak setiap teks khutbah masing-masing.
Menurutnya, jika seseorang khatib membaca teks khutbah yang bukannya disediakan JAINJ, maka mereka boleh dikenakan tindakan.
“Di Johor, kita ada kaedah yang dapat menghalang perkara ini berlaku. Sebab kita mewajibkan semua khatib hanya memakai atau membaca teks khutbah yang disediakan JAINJ setiap minggu.
“Kita yakin dengan kaedah sekarang untuk memastikan apa yang berlaku di Negeri Sembilan tidak akan berlaku di sini,” katanya selepas menghadiri Majlis MAINJ Bersama Orang Muda “MAINJ Kan Ada” di Parit Kuda, Semerah, di sini, hari ini.
Katanya, Johor juga memiliki kaedah ketat untuk mengelak kesilapan berlaku termasuk melantik penggerak masjid dan surau.
“Mereka bertugas untuk melaporkan kepada pihak berkuasa agama negeri sekiranya ada khatib tersilap membaca khutbah. Alhamdulillah, pendekatan ini sangat berkesan,” katanya.
Semalam, solat Jumaat 16 masjid di Negeri Sembilan tidak sah selepas khatib tidak membaca rukun khutbah dalam teks bahasa Arab semasa khutbah Jumaat pada 8 November lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.