KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan di kementerian berkenaan di sini, hari ini.
Beliau tiba di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini jam 8.30 pagi dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.
Turut menyambut Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Penglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Gorman Khan turut hadir dalam majlis berkenaan.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Beliau kemudian mengimbas cap jari perakam waktu kira-kira jam 8.40 pagi sebelum masuk ke pejabatnya.
Selasa lalu, susulan rombakan Kabinet, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO ditukarkan daripada jawatan Menteri Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pertahanan.
Beliau mengambil tempat Datuk Seri Mohamad Hasan yang ditukarkan sebagai Menteri Luar Negeri manakala tempatnya diganti bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.