
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia terus memperkukuh hubungan dalam bidang keselamatan dan pertahanan menerusi pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Sergei Shoigu, hari ini.
Pertemuan itu diadakan selepas Shoigu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.
Dalam satu perkongsian di Facebook, Mohamed Khaled berkata, kunjungan itu membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka lebih banyak kerjasama dalam aspek keselamatan dan pertahanan.
“Sememangnya Malaysia dan Rusia mempunyai hubungan serta kerjasama pertahanan yang baik. Saya juga telah berkongsi komitmen Malaysia dalam menjayakan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) pada November nanti, yang turut melibatkan Persekutuan Rusia,” katanya.
Pertemuan itu, tegasnya turut membincangkan perkembangan geopolitik global serta dinamika sektor pertahanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.