comscore
Tumpuan :
Nasional

Khairul Azwan Harun dilantik sebagai Pengerusi HDC

Halal Development Corporation Berhad/Facebook

PASIR SALAK: Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro, dilantik sebagai Pengerusi Halal Development Corporation (HDC).

Pelantikan itu diumumkan HDC melalui satu hantaran pada akaun Facebook milik agensi berkenaan, hari ini.

Melalui hantaran itu, Lembaga Pengarah, Pengurusan dan warga kerja HDC mengucapkan tahniah dan berharap Khairul Azwan dapat membantu meningkatkan prestasi industri halal negara.

“Semoga dengan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman Encik Khairul Azwan, tadbir urus HDC dapat diperkukuhkan dan kontribusi dapat diberikan pada peningkatan daya saing industri halal di Malaysia hingga ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

HDC berperanan sebagai penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan pemain industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia sejak 18 September 2006.

Ia juga agensi pembangunan industri halal yang pertama disokong kerajaan di dunia. HDC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sebelum ini, Khairul Azwan yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO adalah Pengerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) dan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Touche Technology Bhd.

Loading...
Terkini