Oleh: Izzati Nizam
KUALA LUMPUR: Bagai menepati ramalan pengguna platform digital TikTok, pempengaruh media sosial dan usahawan Khairul Aming dinobat sebagai “Creator of The Year” di TikTok Awards Malaysia malam tadi.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman yang terkenal dengan video masakan sepanjang bulan Ramadan, menewaskan lima pencabar lain dengan jumlah undian melebihi 1.3 juta.
Beliau menyifatkan kemenangan ini sebagai hadiah paling bermakna sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam dunia penciptaan kandungan di negara ini.
“Perasaan sangat teruja selepas lapan tahun, ini kali pertama saya dapat anugerah Creator of the Year dan saya harap sangat kalau boleh diundurkan masa, arwah ayah saya boleh tengok kemenangan hari ini sebab saya kerja keras, sangat-sangat kuat daripada lapan tahun yang lepas,” katanya yang ditemui selepas menerima trofi kejayaan tersebut.
“Saya bermula dengan buat video masak kat atas lantai, membongkok sampai sekarang alhamdulillah kita dah berdiri di sini dan dah ada dua kilang Sambal Nyet di Kota Bharu, Kelantan. Ini hadiah bukan untuk saya seorang, untuk team saya, keluarga saya dan untuk seluruh generasi content creator di Malaysia ini.”
Pengusaha produk Sambal Nyet itu turut berpendapat bahawa anugerah yang bertemakan “Lebih Gah di Skrin Kecil” itu merupakan satu platform terbaik dalam mengetengahkan bakat dan karya pencipta kandungan tempatan.
“Saya rasa anugerah ini akan jadi satu batu loncatan yang besar untuk generasi content creator di Malaysia sebab sebelum ini kita tidak ada anugerah yang istimewa untuk creators. Jadi, kali ini kita bagi pengiktirafan kepada karya mereka.”
Kategori yang turut mendapat perhatian ramai adalah “Popular Creator of The Year” di mana ianya dirangkul Ryan Bakery.
Bermodalkan idea kandungan yang mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak di platform TikTok, beliau menganggap trofi yang diterima merupakan bukti hasil usaha yang dicurahkan sebelum ini.
“Alhamdulillah saya syukur sangat-sangat, sokongan dari orang ramai. Terima kasih banyak-banyak atas sokongan yang tak pernah berhenti daripada dulu sampailah ke hari ini. Ini adalah satu suntikan semangat untuk saya terus berkarya dan bukan untuk saya sahaja tetapi semua content creator di Malaysia.”
TikTok Awards Malaysia yang bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa MITEC ibu negara itu julung kali diadakan untuk mempamerkan kreativiti pencipta kandungan selain menyebarkan impak positif kepada masyarakat.
Acara yang dianjurkan TV3 dan Tiktok itu turut dimeriahkan oleh selebriti dan personaliti nama besar selain persembahan istimewa dari Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Ernie Zakri dan ramai lagi.