Tumpuan :
Nasional

Khairol Anuar dilantik sebagai Pengerusi baharu SIRIM

KUALA LUMPUR: Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi dilantik sebagai Pengerusi SIRIM Berhad yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 20 Mei 2023.

Menurut satu kenyataan hari ini, pelantikan dibuat bagi menggantikan Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Khairol Anuar, seorang usahawan teknologi memulakan kerjayanya di Jabatan Telekom Malaysia pada tahun 1983 setelah tamat pengajian tinggi.

Beliau kemudiannya menubuhkan KAT Technologies Sdn Bhd pada tahun 1994 dan menjadi Pengerusi Eksekutifnya selepas 14 tahun berkhidmat di pelbagai jawatan di Kumpulan Sapura.

Beliau juga merupakan jurutera profesional bertauliah oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan kini turut memegang jawatan Ahli Lembaga Penasihat Digital Perak Corporation Bhd.

Selain itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan sebagai lembaga pengarah di beberapa institusi seperti Tabung Amanah Melaka, Institut Sukan Negara dan MAIM Holdings Bhd.

Loading...
Terkini