comscore
Tumpuan :
Nasional

KFA sahkan CEO persatuan ditahan SPRM berhubung kes rasuah

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Che Haron ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM6 juta.

Naib Presiden KFA, Muhamad Radhi Mat Din, berkata satu mesyuarat khas akan diadakan selewat-lewatnya esok berhubung perkara itu.

“Setakat ini, kita masih tak dapat maklumat tepat (mengenai penahanan Zulkifli) dan secara peribadi saya sendiri tidak tahu lebih lanjut mengenai perkara ini.

Beliau berkata turut terkejut dengan penahanan itu kerana Zulkifli merupakan individu yang kuat bekerja dalam KFA, bagaimanapun meminta orang ramai menunggu laporan berkaitan.

“Disebabkan itu kita perlu bagi masa untuk proses berkaitan (siasatan) berjalan dan lihat pertuduhan itu datang dari mana,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri di Kompleks Belia dan Sukan Kedah, hari ini.

Muhamad Radhi berkata, pihaknya tidak dapat membuat sebarang keputusan mengenai kejadian itu, sebelum maklumat lengkap mengenainya diterima.

“Yang kita pasti pihak yang dituduh itu selama ini berperanan membantu membayar hutang (KFA) dan kita mahu dapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Zulkifli mula dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KFA pada 2020 lalu, selain beliau pernah menjadi Penolong Setiausaha KFA pada 2008 hingga 2013.

Semalam, SPRM menahan reman Zulkifli dan tiga individu berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini