KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan analisa dan penelitian terhadap kedudukan kewangan membabitkan beberapa syarikat bagi siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, penelitian itu dibuat selepas laporan yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membabitkan beberapa individu termasuk milik bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan ahli perniagaan.
Menurutnya, pihaknya juga dalam tindakan melakukan semakan penerbangan bagi melihat pergerakan ke luar negara khususnya ke Myanmar oleh individu berkenaan sejak 2019.
“Selain itu, keterangan beberapa individu khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan di bawa balik dari Myanmar ke negara ini juga akan diambil.
“Tindakan ini adalah bagi melihat sekiranya ada maklumat baharu berdasarkan keterangan diambil yang boleh membantu dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak sembilan keterangan sudah diambil sejak kelmarin sehingga semalam.
Katanya, berdasarkan semua keterangan itu, masih belum ada keterangan kukuh ke arah pemerdagangan manusia.
“Proses merakam percakapan itu membabitkan keterangan ahli politik dan suaminya, selain ahli perniagaan dan beberapa individu dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wartawan portal tempatan.
“Kita (polis) juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pengarang yang menerbitkan laporan ‘Justice For Myanmar’ untuk dirakam percakapan secara dalam talian berkenaan isi kandungan artikel yang diterbitkan,” katanya.
Razarudin berkata, hasil percakapan yang diambil terhadap seorang blogger Youtuber dari Indonesia, individu berkenaan menyatakan maklumat yang dia dedahkan adalah daripada hasil siasatannya sendiri.
“Sebahagiannyaa adalah merujuk kepada laporan yang diterbitkan ‘Justice For Myanmar.
“Pasukan siasatan juga ketika ini sedang mengesan dua lagi ahli perniagaan dari China bagi siasatan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.