Oleh Nur Ain Zulfah Yahya
KUALA LUMPUR: Cokmar antara alat kebesaran diraja paling menarik dan mendapat sambutan hangat oleh pengunjung booth Parlimen.
Diperbuat daripada perak dengan ketinggian 81.32 sentimeter, Cokmar merupakan dua batang tongkat pendek berhulukan kubah yang dibawa oleh Bentara Mesyuarat ketika sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berlangsung.
Menurut Ketua Bentara Mesyuarat Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, Leftenan Kolonel Sr Arifin Abdul Rahman (B), sidang dewan tidak boleh dimulakan selagi Cokmar tidak dibawa masuk ke dalam dewan.
“Kita akan bawa ke dalam, kita akan meletakkan Cokmar di tempat yang dikhaskan untuk Cokmar dalam dewan lepastu Speaker akan bersidanglah untuk mereka berbahas dan membincangkan rang undang-undang yang berjalan seperti dalam aturan mesyuarat-mesyuarat pada hari itu,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 pada Hari Terbuka Parlimen, semalam.
Keunikan Cokmar dapat dilihat melalui empat generasi bermula tahun 1952 iaitu generasi pertama, 2000 generasi kedua, 2009 generasi ketiga, dan 2022 generasi keempat.
Leftenan Kolonel Sr Arifin Abdul Rahman (B) yang telah berkhidmat selama empat tahun bersama Parlimen menyatakan, Cokmar tidaklah diubah suai begitu banyak, namun yang membezakan adalah bilangan pecahan bintang yang terdapat di struktur alat kebesaran diraja tersebut.
“Cuma perubahan dari segi bintang, pada tahun 1952 Sabah Sarawak tidak termasuk lagi dalam Malaysia jadi dia ada 11 bintang. Bila Cokmar generasi baru tahun 2000, dia ada 14 bintang.”
“Bintang pecah 11 terdiri negeri persekutuan seperti Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan juga dua negeri selat seperti Melaka dan Pulau Pinang.”
“Bintang pecah 14 pula termasuk negeri yang dinyatakan tadi dan penggabungan negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan).”
Tambah beliau, tugas Bentara Mesyuarat juga adalah menjaga, memelihara dan membawa masuk dan keluar cokmar semasa persidangan disamping menjaga keselamatan dan ketenteraman serta keadaan didalam dewan persidangan dan dibantu oleh Bentara Parlimen sebagai staf penghubung kepada Speaker Dewan, Setiausaha Dewan, ahli parlimen serta pegawai kerajaan dalam urusan di dalam dewan persidangan.
Hari Terbuka Parlimen berlangsung selama dua hari iaitu 6 & 7 Mei 2023 bagi memberi ruang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan institusi itu sebagai badan perundangan tertinggi negara dan sejarahnya.