KUALA LUMPUR: Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 di Tanjung Kiraz, Sabah menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu hantaran di Facebook berkata, kunjungan itu sebahagian daripada lawatan kerjanya yang masuk hari keempat semalam.
“Tan Sri Razarudin bersama delegasi yang tiba sekitar jam 10.15 pagi tadi telah disambut oleh Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA, Superintenden Husaini Zainal Abidin.
“Dalam rangka lawatan kerja itu, Tan Sri bersama delegasi diberi ‘walking briefing’ oleh Superintenden Husaini sambil meninjau keadaan sekitar pos dan pengoperasian di pos kawalan berkenaan,”katanya dalam hantaran semalam.
Dalam hantaran sama PDRM memaklumkan, Razarudin diberikan taklimat berhubung penggunaan sistem solar hibrid yang digunakan sebagai sumber tenaga untuk kegunaan harian di pos kawalan berkenaan.
Beliau turut mengambil kesempatan beramah mesra dan meluangkan masa bersama pegawai dan anggota bertugas di pos berkenaan.
Hadir sama Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Khas), Senior Asisten Komisioner, Anuar Rosdi dan Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah.
Turut hadir pegawai kanan Kontinjen Sabah antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim dan Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.