Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussain, menggesa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk terus memantau pegawai polis yang telah selesai menjalani hukuman tatatertib.
Langkah ini penting bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan, selain memperkukuh integriti serta kepercayaan terhadap institusi polis.
“Perlu diingat, isu integriti adalah perkara yang sentiasa dititikberatkan dan tidak ada ‘expiry date’ untuk terus dipatuhi,” katanya.
Tegasnya, isu integriti yang dihadapi pasukan polis berpotensi menggugat keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan institusi tersebut.
Oleh itu, pendekatan yang lebih efisien perlu dilaksanakan bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada, sekali gus memastikan warga Sang Saka Biru sentiasa berada pada tahap kecemerlangan tertinggi.
“Suka saya tekankan disini agar sama-sama kita meluruskan niat dan ingatlah bawaha kerja yang kita laksanakan ini adalah sebahagian daripada ibadah,” tambahnya.
Tan Sri Razaruddin ditemui dalam Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman.
Seramai 200 pegawai polis yang berjaya mengharumkan nama pasukan sepanjang menjalankan tugas dianugerahkan Surat Penghargaan Khas oleh Ketua Polis Negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.