Oleh: Ing Boon Seng
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban pagi ini.
Beliau bersama pegawainya turut mengawal aliran trafik serta membantu mangsa sehingga dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kejadian berlaku jam 7.37 pagi ketika beliau dalam perjalanan dari kediamannya menuju Bukit Aman untuk menghadiri Perhimpunan Bulanan.
Penunggang motosikal yang juga anggota RELA berada di lorong kiri sebelum mengubah haluan ke lorong kanan.
Pada masa sama, sebuah kereta juga menukar haluan ke lorong kanan mengakibatkan mangsa tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian belakang sebuah kereta lain.
Secara kebetulan, kenderaan membawa Razarudin berada selang beberapa meter di belakang.
Beliau segera membantu mangsa selain menghubungi talian kecemasan untuk bantuan ambulans serta anggota trafik bagi kawalan lalu lintas di lokasi.
Mangsa juga dipapah ke tepi jalan sementara menunggu ketibaan ambulans.
Difahamkan mangsa berusia 50-an itu cedera di kaki dan luka di tangan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Cancelor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.