SAN FRANCISCO: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sudah meletak jawatan dan kini tiada lagi sebarang kaitan dengan kerajaan atau agensi.
Katanya, Agus sudah menyerahkan surat peletakan jawatan dan kerajaan berterima kasih atas khidmat beliau sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan Agus telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM.
Agus bagaimanapun menafikan tindakan peletakan jawatan itu berkait rapat dengan desakan susulan dakwaan prestasi J-KOM yang kurang memuaskan.
Sebaliknya beliau mendakwa, tindakannya itu disebabkan tawaran yang diterima daripada organisasi tempatan dan antarabangsa yang memerlukan khidmatnya.
Agus dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.