Tumpuan :
Nasional

Ketua Balai Polis hadapi 98 pertuduhan rasuah

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Ketua Balai Polis Cherating, Sarjan Mejar Anuar Yaakub, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 98 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM31,400 sejak 2021.

Bagaimanapun tertuduh, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Bapa kepada tiga anak itu, didakwa melakukan kesalahan terbabit antara Januari 2021 dan Oktober 2022 sejak berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sehingga kemudiannya ditugaskan sebagai Ketua Balai Polis Cherating.

Dia didakwa menerima wang suapan itu melalui transaksi perbankan dalam talian ke akaun miliknya antara RM100 dan RM2,000 daripada beberapa individu di lima lokasi berbeza di sekitar Kuantan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Mahkamah mengarahkan tertuduh diikat jamin RM15,000 serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Sebutan semula kes pada 25 September depan.

Loading...
Terkini