Tumpuan :
Nasional

Keterangan pemilik kereta terbakar dah diambil, pemandu mungkin anaknya – Polis

FOTO: Ihsan Polis

PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan pemilik kereta yang terbakar hingga menyebabkan pemandunya rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, di sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, butiran pemilik kenderaan sudah diperolehi dan keterangan individu berkenaan juga sudah diambil.

 

Menurutnya, berdasarkan keterangan, pemilik kenderaan mengesyaki mangsa adalah anaknya yang dipercayai menggunakan dan memandu kenderaan berkenaan ketika kejadian.

“Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa tidak dapat diberikan (disahkan) hingga laporan pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperolehi.

“Permohonan DNA juga sudah dibuat dan hasil keputusan akan diperolehi dalam masa seminggu hingga dua minggu,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, pemandu kereta rentung selepas Honda Accord dipandu terbakar dalam kemalangan berkenaan dan polis menerima maklumat kejadian pada 7.24 pagi.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku pada 6.20 pagi apabila kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang LRT lalu terbakar.

Mangsa iaitu pemandu kereta berkenaan terbakar seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini