SUBANG JAYA: Penyanyi rap Caprice dan wanita Indonesia dikenali Mondy Tattoo sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan susulan laporan yang dibuat pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, rakaman percakapan Ariz Ramli atau Caprice dan Dita Restu Amanda atau Mondy itu diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Artikel berkaitan: Ebit Lew disiasat
“Bagi melengkapkan siasatan kes ini, beberapa saksi lain lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi memaklumkan pihaknya sudah menerima arahan lanjut bagi menyiasat kes itu, semalam.
Katanya, setakat ini, pihak polis hanya menerima satu laporan dibuat Ebit Lew di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, kelmarin.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Kelmarin, Ebit Lew tampil membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku fitnah melampau terhadapnya.
Artikel berkaitan: Ebit Lew buat laporan polis dakwa difitnah
Ebit Lew menerusi hantaran di Instagramnya memaklumkan laporan polis itu dibuat sebaik beliau tiba dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira jam 12 tengah malam.
Laporan polis itu dipercayai dilakukan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah mendapat pertolongannya.
Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama tiba di Malaysia, tahun ini.