Oleh: Kumaran Rajamoney
KUALA NERANG: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli UMNO untuk mengetepikan perbalahan yang dicetuskan anasir di luar parti, sehingga menganggu fungsinya dalam Kerajaan Perpaduan.
Tegas beliau, keberadaan UMNOdalam Kerajaan Perpaduan penting dalam menjadi tonggak memperjuangkan agenda memartabatkan masyarakat Melayu dan Islam.
“Jelas Perdana Menteri memberikan kepentingan apabila membuat lantikan ahli jemaah menteri dengan portfolio yang penting kepada wakil dari UMNO. Saya telah diberikan amanah untuk mengemudi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).”
“Ertinya, kita memperjuangkan agenda Melayu, orang Asli dan juga masyarakat Siam Bumiputera.”
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, UMNOjuga telah berjaya diselamatkan dari usaha pengharaman pasca Pilihan Raya Umum ke-14 oleh kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, hasil campur tangan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semua ini menunjukkan kematangan politik dibawa beliau, berbanding persahabatan politik dengan parti dalam Perikatan Nasional (PN) di mana kita dikhianati,” katanya.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada siri Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO Bahagian Padang Terap, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNOKedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan pimpinan UMNO Bahagian Padang Terap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.