comscore
Tumpuan :
Nasional

Ketahui antara kesan fenomena El Nino

Oleh: Nini Shahira Anuar

PETALING JAYA: Fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata kepada BH, fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

“Berdasarkan ramalan terkini, ia dijangka mula melemah dan beralih kepada keadaan neutral secara beransur-ansur menjelang pertengahan tahun ini,” katanya.

Sebagai persediaan bagi menghadapi musim panas dengan intensiti kuat, masyarakat dan pemain industri perlu terlebih dahulu memahami potensi kesan-kesan fenomena El Nino.

El Nino berpotensi mencetuskan jerebu, pencemaran udara

Foto hiasan

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar, Prof Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata fenomena El Nino berpotensi menyebabkan jerebu.

“Jika El-Nino berlaku jerebu pasti (sebab panas, kebakaran) akan berlaku. Bila jerebu berlaku , apa yang kita risau adalah pm2.5 (zarah jerebu) yang boleh menyerap masuk terus ke paru- paru, ini lah yang menyebabkan terjejasnya kesihatan” katanya kepada Buletin TV3.

Prof Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir, Pensyarah, Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi UKM

Menjejaskan kesihatan awam

Foto hiasan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kesan kesihatan yang terkait dengan fenomena El-Nino adalah peningkatan penyakit respiratori dalam kalangan kanak-kanak dan kumpulan berisiko.

Antara yang disenaraikan termasuk asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk, selsema dan peningkatan penyakit berjangkit.

Antara risiko yang sering dikaitkan termasuk kegagalan fungsi organ badan akibat strok haba, keletihan dan kelesuan, pitam atau pengsan dan kekejangan otot.

Kesihatan awam juga turut terancam akibat krisis air yang berpunca dari kemarau panjang.

Kesan El-Nino terhadap sektor pertanian

Foto hiasan

Kemarau berpanjangan juga mengakibatkan kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam semakin kering berpunca kadar sejatan yang tinggi dan tiada hujan.

Empangan yang kering turut menjejaskan sektor tanaman padi dan sekali gus penghasilannya.

Menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, bekalan beras catat hasil kehilangan paling teruk pada tahun 1980 hingga 1999, iaitu sebanyak hampir tujuh peratus berikutan fenomena El Nino.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

“Kalau suhu melebihi 34 darjah Celcius mungkin akan beri kesan pada jadual penanaman padi, ini berkaitan dengan perairan, jika empangan kekurangan air mungkin jadual akan tertangguh. Tapi penanaman tetap akan diteruskan.” katanya.

Berikutan cuaca panas, kering dan kuantiti hujan berkurang, sektor tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran turut terjejas

Mohamad Zabawi berkata, tanaman sayur-sayuran dijangka terkesan sekitar 30 hingga 50 peratus secara purata sekiranya fenomena ini berterusan.

Tanaman sayur jenis berbuah seperti timun, petola, bendi, lebih terjejas berbanding sayur berdaun.

Kesan El-Nino terhadap sektor perikanan

Foto hiasan/ Reuters

Di samping itu, fenomena El-Nino ini turut memberi kesan kepada sektor perikanan.

Kesan pergerakan air dan nutrien akibat fenomena ini akan mengurangkan sumber makanan bagi hidupan laut, sekaligus menyebabkan haiwan ini berpindah atau mati.

Beberapa spesies ikan yang gemar suhu sejuk seperti tuna, akan berpindah ke perairan lebih sejuk ketika fenomena ini.

Ketua Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Datuk Adnan Hussain berkata fenomema El Nino yang melampau boleh menjejaskan industri akuakultur kerana menjadi punca ikan mati akibat suhu tinggi.

Datuk Adnan Hussain, Ketua Pengarah Perikanan.- Foto fail NSTP

“Spesies yang terjejas khususnya ikan yang diternak di dalam sangkar, ini akan ada kesan yang agak ketara khususnya sangkar air tawar seperti ikan tilapia, ikan patin yang diternak dan untuk perikanan tangkapan spesis yang terjejas adalah spesies ikan pelagik termasuk ikan tuna,” katanya.

Pemahaman mengenai kesan El Nino dapat membantu masyarakat membuat persediaan awal menghadapi musim panas dan mengelak kepanikan melampau.

 

Loading...
Terkini