Oleh : Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SERDANG: Beradaptasi di ‘tanah yang bermasalah’, berhasil tinggi selain tempoh tuaian seawal 55 hari.
Itu antara kelebihan tiga varieti bawang merah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dilancarkan pada Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian MARDI (Show-tech MARDI) 2023 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Bagi varieti BAW-1, bawang berkenaan beradaptasi di tanah mineral dan tanah jenis Bris (berpasir) yang dikategorikan sebagai tanah bermasalah.
Ia sebesar 25 hingga 35 milimeter (mm), berwarna merah terang dan tempoh tuaian di antara 65 hingga 75 hari selepas penanaman.
Selain itu, BAW-2 yang berwarna merah muda beradaptasi di tanah mineral dan tanah gambut, bersaiz medium (28-32mm) serta juga boleh dituai di antara 65 hingga 75 hari selepas penanaman.
BAW-3 pula beradaptasi di tanah jenis Bris dan tanah mineral, saiz kecil (18-25mm), berwarna merah muda dan tempoh tuaian 55 hingga 65 hari selepas penanaman.
Dalam ucapan perasmian Show-tech MARDI 2023, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha penyelidikan berkaitan bawang amat penting memandangkan negara mengimport sepenuhnya bahan masakan itu.
“Menyedari harga import makanan akan terus meningkat, MARDI menjalankan penyelidikan penanaman bawang. Ini satu usaha cukup baik sebab masak apa-apa pun memerlukan bawang, melainkan buat kuih,” katanya.
Pada 2021, Malaysia mengimport sebanyak 484,867 metrik tan bawang bernilai RM902.5 juta untuk memenuhi permintaan pengguna.
Dalam sidang media sejurus majlis itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, projek rintis menggunakan varieti bawang tersebut telah dilaksanakan, namun tidak dinyatakan lokasi penanaman.
“Bawang tidak lama (tanam), dalam tempoh tiga bulan kita boleh dapatkan hasil. Saya rasa tahun depan kita akan perluaskan projek rintis dan 2025 kita boleh mulakan dengan ladang besar,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mohamad Zabawi dilaporkan berkata, MARDI berhasrat menjadikan Perak sebagai hab penanaman bawang merah tanah rendah di negara ini.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada persetujuan kerajaan negeri untuk penyediaan tanah dan lokasi sesuai.
Pada majlis sama, turut dilancarkan dua buah buku dari Penerbit MARDI iaitu Buku Teknologi Pengeluaran Jagung Bijian dan Buku Merungkai Sistem Penanda Molekul.
Show-tech MARDI 2023 yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini adalah platform untuk mempamerkan dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan agensi berkenaan sejak 54 tahun lalu kepada masyarakat serta pemain industri.
Selain pameran dan demonstrasi teknologi, pengunjung berpeluang melawat kilang tanaman MARDI, laman sayur, laman kelulut serta plot tanaman kubis bulat.