KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkasakan kemahiran pekerja Malaysia dalam menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata kementerian itu telah menyediakan dana berjumlah RM3 bilion untuk sektor pengurusan latihan kemahiran bagi 2025, yang akan diguna pakai bagi membantu mempersiapkan sektor pekerjaan yang mungkin terkesan dengan perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“Jadi, RM3 bilion ini kita akan guna pakai dengan melihat kepada kaedah bagaimana kita boleh membantu, contohnya 600,000 pekerjaan yang mungkin akan terkesan itu kita laksanakan kursus pemahiran semula, peningkatan kemahiran dan silang kemahiraan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dalam keadaan persekitaran pekerjaan yang baharu.
“Ini juga bagi menggalakkan rakyat Malaysia khususnya golongan pekerja mengambil kursus kemahiran yang mungkin akan muncul dan diperlukan oleh pasaran kerja dalam jangka masa tiga ke lima tahun akan datang,” katanya dalam sidang media selepas majlis ‘Life At Work Awards 2024’, semalam.
Beliau berkata demikian susulan hasil Kajian Impak AI, Digital, dan Ekonomi Hijau Ke Atas Tenaga Kerja Malaysia yang diterajui oleh KESUMA pada 18 November lepas.
Menurut laporan itu, terdapat 620,000 pekerjaan atau 18 peratus daripada 3.5 juta pekerja dijangka terjejas secara signifikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang susulan perkembangan AI, digital, dan ekonomi hijau.
Selain itu, Sim berkata laporan kajian ini dilihat penting dalam membantu kerajaan merangka strategi dalam mendepani cabaran landskap pekerjaan akan datang selain memberi gambaran kepada rakyat Malaysia tentang isu berkaitan pasaran pekerjaan.
“KESUMA dalam perancangan untuk melancarkan apa yang dipanggil sebagai ‘fulfillment’ iaitu langkah dan strategi dalam sektor latihan, kemahiran untuk membantu pekerja Malaysia berdepan cabaran sektor pekerjaan di tahun-tahun akan datang,” katanya lagi.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.