comscore
Tumpuan :
Nasional

Kestabilan politik jadikan ekonomi negara bertambah baik – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ada program di Nibong Tebal, hari ini. – Foto NSTP

NIBONG TEBAL: Kerajaan yakin ekonomi negara akan bertambah baik, susulan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2024 menunjukkan perkembangan positif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024, namun ia mampu dicapai menerusi kestabilan politik di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita lihat dari segi FDI, ia telah bertambah pada suku pertama tahun 2024 dan tentunya pelabur-pelabur melihat iaitu nombor satu, dari segi kestabilan politik, manakala yang kedua ialah dari segi kemampuan untuk kelulusan sesuatu permohonan projek, terutamanya untuk mengendalikan kilang-kilang di kawasan-kawasan industri.

“Dan, yang ketiganya ialah tentang kebolehpercayaan atau keyakinan (pelabur luar) terhadap kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya ketika diminta mengulas berhubung kedudukan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penjelasan lanjut berhubung isu itu akan diberikan kementerian berkaitan antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi.

“Penjelasan lanjut mengenainya akan diberikan apabila misi dagangan dilakukan dalam lawatan-lawatan rasmi yang dijalankan oleh menteri, menteri MITI, menteri ekonomi dan juga menteri-menteri yang berkaitan dengan soal ekonomi.

“Ia termasuk misi dagangan yang dibuat oleh ketua-ketua menteri dan juga menteri-menteri besar dan saya yakin ianya akan bertambah lebih baik selepas ini,” katanya.

Dalam laporan baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 jatuh tujuh anak tangga daripada ranking ke-27 tahun lalu.

Laporan WCR yang dikeluarkan oleh IMD meletakkan Malaysia di tempat keempat dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.

Loading...
Terkini