PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kestabilan politik serta dasar negara yang jelas telah menaikkan imej negara di mata dunia.
Prestasi itu juga dilihat membawa hasil pelaburan yang tinggi menerusi lawatan beliau dan wakil-wakil kementerian ke luar negara sekali gus merancakkan ekonomi negara.
“Profil Malaysia Alhamdulillah jauh lebih tinggi sekarang. Dan orang kaitkan ini dengan soal Anwar tidak benar. Ini soal politik yang stabil dan pasukan yang komited dan membawa mesej yang sama. Ini beri keyakinan kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV3.
Tambah Perdana Menteri, dasar yang dibawa kerajaan termasuk dalam aspek transisi tenaga baharu dan hijau serta transformasi digital turut menyumbang kepada prestasi positif itu.
Turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah pertambahan mendadak pelancong luar negara ke Malaysia baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar bagaimanapun menegaskan aspek keselamatan dan penguatkuasaan tidak pernah dikompromi pentadbirannya.