comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesilapan pandu arah dan faktor kapal usang jadi punca KD Pendekar tenggelam

KD PENDEKAR tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop, Johor selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar Terumbu Punggai pada 25 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan insiden Kapal DiRaja KD Pendekar yang tenggelam di Perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu berpunca daripada kesilapan pandu arah.

TLDM menerusi kenyataan medianya malam tadi turut memaklumkan berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD Pendekar didapati telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai.

Lembaga siasatan juga mendapati faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain.

Dalam kejadian itu, KD Pendekar telah karam ketika melaksanakan rondaan operasi.

Insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.

Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV Ashley tanpa sebarang kecederaan.

Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lepas oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal.

Sementara itu Lembaga siasatan TLDM turut mengeluarkan hasil siasatan berkaitan kematian seorang anggota penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa yang dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan operasi salvaj kapal berkenaan tiga hari selepas insiden KD Pendekar tenggelam.

Siasatan mengesahkan bahawa punca kematian penyelam adalah akibat lemas.

Keadaan arus di kawasan operasi tidak menentu dan berlumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar 1 kaki pada hari kejadian.

Anggota penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa meninggal dunia kerana lemas ketika melakukan operasi salvaj KD PENDEKAR.

Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar.

Siasatan mendapati tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, serta langkah kecemasan yang dilakukan oleh penyelam terbabit tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas.

Berdasarkan siasatan prosedur operasi tetap SOP penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan.

Peralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman.

Penyelam juga disahkan kompeten untuk menjalankan tugas penyelaman tersebut.

TLDM mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden yang berlaku.

Keselamatan anggota dan kesiagaan armada adalah keutamaan TLDM di samping memastikan kesemua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini