
BAHRAIN: Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertambah baik selepas selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkesempatan menghadap Sultan Ibrahim ketika lawatan rasminya di Bahrain berkata, keadaan baginda jauh lebih baik berbanding sebelum menerima rawatan.
“Saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong dua kali dan Alhamdulillah rawatan di peringkat awal itu nampak berhasil walaupun (masih) harus dipantau.
“Kesihatan baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya, baginda putuskan untuk pulang (ke tanah air) dahulu. Insya-Allah meneruskan rawatan jika perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Mengiringi Baginda, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Istana Negara kemudian dalam kenyataan susulan memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia Jumaat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.