Tumpuan :
Nasional

Kesihatan Mental: KBS-NCEMH jalin kerjasama, tawar khidmat sokongan kepada belia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menawarkan khidmat sokongan terhadap golongan belia yang berdepan tekanan, kecemasan dan kemurungan.

Menurut Menterinya, Hannah Yeoh, perkhidmatan yang disediakan termasuk kaunseling dalam talian daripada pakar bidang kesihatan mental.

“Melalui inisiatif ini, perkhidmatan yang dapat diberikan kepada golongan belia yang memerlukan bantuan dan sokongan adalah seperti kaunseling dalam talian daripada kaunselor berkelayakan dan pakar dalam bidang kesihatan mental.

“Selain itu, KBS dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah melaksanakan beberapa program untuk memberi kesedaran dan sokongan kepada belia yang menghadapi masalah kesihatan mental.

“Terutamanya dalam program Rakan Muda dengan kerjasama beberapa NGO menerusi Program BeFrienders Webinar dan Mentalbuoy Lifesaver dan juga aktiviti reruai dalam pelaksanaan program ikonik KBS seperti penawaran Mental Health Screening dan Advokasi,” jelasnya.

Selain khidmat sokongan, jelasnya turut menjalankan kajian penilaian tahap kesihatan mental belia berusia 15 hingga 30 tahun dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia.

“Kajian ini mencatatkan indeks kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana memuaskan dengan skor 71.91 dan menunjukkan bahawa belia Malaysia berisiko sederhana berhadapan dengan masalah kesihatan mental.

“Pengukuran ini mengambil kira tujuh domain yang mempengaruhi kesihatan mental belia iaitu minda sihat, gaya hidup, persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, pengendalian tekanan dan sokongan sosial.

“IYRES juga telah membangunkan Garis Panduan Menangani Isu Kesihatan Mental Belia Malaysia pada tahun 2023 yang boleh diakses melalui laman web IYRES www.iyres.gov.my,” katanya lagi.

Ujarnya, golongan belia boleh mendapatkan garis panduan berhubung kesihatan mental, cara menangani stigma masyarakat dan panduan mendepani kesihatan mental.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini