
KUALA LUMPUR: Kesihatan mental belia berusia 15 hingga 30 tahun di negara ini berada pada tahap memuaskan mengikut kajian Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kajian itu dilaksanakan bagi mengukur tahap kesihatan mental belia di negara ini.
“Kajian ini mencatatkan indeks kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana, memuaskan dengan skor 71.91, ia menunjukkan bahawa belia Malaysia berisiko sederhana berhadapan dengan masalah kesihatan mental.
“Pengukuran ini mengambil kira tujuh domain yang mempengaruhi kesihatan mental belia iaitu minda sihat, gaya hidup, persekitaran, kepribadian individu, pengalaman hidup, pengendalian tekanan dan sokongan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) mengenai inisiatif kementerian dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan belia termasuk penyediaan khidmat kaunseling dan platform sokongan komuniti secara percuma.
Mengulas mengenai langkah pencegahan, Hannah berkata, program Rakan Muda melalui 10 Gaya Hidup turut dilaksanakan dan dilihat dapat memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental belia.
“Pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi dilibatkan sebagai rakan pelaksana penganjuran program atau aktiviti Rakan Muda.
“Rakan Prihatin sebagai salah satu Gaya Hidup di bawah Rakan Muda turut melaksanakan pelbagai program kesihatan mental, jati diri dan kecerdasan emosi antaranya melalui kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan pelaksana.
“Selain itu, Program BeFrienders Webinar dan Mentalbuoy Lifesaver juga menganjurkan aktiviti reruai dalam pelaksanaan program ikonik KBS seperti penawaran saringan kesihatan mental dan advokasi,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan Program Kem Belia Tahun 2025 turut diperluaskan ke peringkat daerah yang mana sebanyak 115 program akan dilaksanakan membabitkan penyertaan belia seramai 5,750 orang.
“Dengan adanya program Rakan Muda ini, ia dapat memberi peluang kepada belia untuk berinteraksi dan membina hubungan dengan rakan sebaya dan mentor yang positif.
“Ini penting untuk meningkatkan kesejahteraan mental kerana interaksi sosial yang sihat boleh membantu mencegah perasaan kesunyian, kebimbangan atau tekanan.
“Kesemua inisiatif ini menunjukkan komitmen pihak kerajaan untuk mewujudkan persekitaran dan ekosistem yang kondusif kepada belia negara ini dalam menangani cabaran kesihatan mental.
“Kementerian juga akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkukuh pendekatan menyeluruh ke arah kesejahteraan mental belia negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.