ALOR SETAR: Bekas pemain bola sepak Kedah era 90-an, Abdul Rahman Tasu 60 tahun, kini berdepan masalah kesihatan.
Abdul Rahman yang bermain di posisi penyerang di zaman kemuncak kariernya, mengalami empat kali serangan angin ahmar sejak 16 September lalu.
Ia menyebabkan dia kini tidak mampu berjalan dan terpaksa bergantung dengan kerusi roda, selain memerlukan pemerhatian penuh sepanjang masa.
Isterinya, Asmanida Ismail, 45, berkata sebelum serangan strok kali keempat itu, suaminya masih boleh berjalan menggunakan tongkat serta mampu bercakap walaupun pertuturannya tidak jelas dan tidak lancar.
Selain berdepan masalah kesihatan, mereka juga berdepan kekangan kewangan kerana hanya bergantung sepenuhya kepada pencen ilat yang diterima Abdul Rahman berjumlah RM1,500 sebulan.
“Pencen saja lah, kak kerja, kak kena berhenti bila kak kerja macam kak tukang masak baru pi mintak kerja 2 hari. Semua orang tak suka so esok tak payah mai kerja dah air semua kak pun bukan pakai kereta baru pakai kereta buruk ada time rosak dan macam macam lah”, katanya ketika ditemui di kediamanya di Pekan Langgar.
Asmanida berkata Abdul Rahman pada masa ini hilang selera makan dan hanya mahu menjamah bubur nasi kosong sejak beberapa hari lalu.
“Ubat-ubatannya memang dapat percuma daripada hospital tetapi kami juga cuba rawatan alternatif kerana nampak ada sedikit perubahan padanya, jadi untuk rawatan berkenaan memerlukan sedikit wang,” katanya.
Abdul Rahman merupakan seorang daripada pemain Kedah yang membantu menjulang Piala Malaysia pertama pada 1990 selepas menang 3-1 menentang Singapura dan juara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) edisi pertama pada 1986.