LANGKAWI: Keadaan kesihatan kanak-kanak berusia empat tahun, Ahmad Raihan Abdul Mukmin yang parah akibat digigit sekumpulan anjing di Kampung Dede Sungai Menghulu di sini, semalam, semakin baik hari ini.
Ibunya, Nur Solehah Mat Hahir, 25, berkata, anaknya bertambah sihat berbanding semalam, namun masih perlu menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini.
“Pagi ini dia (Ahmad Raihan) dah senyum. Setakat ini masih dirawat di hospital dengan bahagian kepala yang koyak akibat digigit anjing masih berbalut.
“Saya juga belum dimaklumkan sama ada pihak hospital akan melakukan ujian virus rabies ke atasnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menjawab pertanyaan lain, Nur Solehah berkata, dia juga tidak dapat mengagak jumlah sebenar anjing yang menyerang anaknya kerana tiada di tempat kejadian.

Media semalam melaporkan, Ahmad Raihan cedera parah di kepala, badan dan kaki akibat digigit sekumpulan anjing berhampiran rumahnya sebelum diselamatkan orang ramai dan dihantar ke HSM.
Laporan itu memetik Nur Solehah sebagai berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi, sekumpulan anjing dilaporkan mengelilingi dan menyerang anaknya sehingga mendatangkan kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari turut mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu dari HSM dan ibu mangsa pada hari kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.