Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
KUALA LUMPUR: Kod QR akan digunakan bermula bulan ini sebagai tempoh percubaan bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan kod berkenaan adalah di 40 lorong khas di KLIA khusus buat rakyat Malaysia.
Menurutnya, lorong khas itu akan ditempatkan di kawasan ketibaan dan pelepasan Terminal 1 serta Terminal 2 KLIA.
“Antara kelebihan pelepasan imigresen menggunakan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan kaedah ‘autogate’ konvensional dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk terutama di waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, penggunaan kod tersebut juga meningkatkan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan melalui penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim cuti sering kali menjadi perhatian pelbagai pihak.
Pada masa ini, proses pelepasan imigresen di KLIA masih bergantung kepada kaunter manual dan sistem autogate yang mempunyai kemampuan terbatas.
Jelasnya, walaupun autogate telah diperkenalkan untuk mempercepatkan pelepasan imigresen, tetapi kecekapan sistem terbabit masih lagi menjadi isu utama yang menyebabkan kaunter manual terus menjadi pilihan.
“Melalui sistem kod QR, pengembara tidak lagi perlu mengeluarkan buku pasport ketika pelepasan imigresen.
“Namun, mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa buku pasport di sepanjang perjalanan,” katanya.
Tambah Saifuddin, meskipun pelepasan imigresen menggunakan kod QR telah
diperkenalkan, kemudahan kaunter manual dan sistem autogate konvensional akan terus tersedia dan masih boleh digunakan seperti biasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.