Tumpuan :
Nasional

Kesesakan jabatan kecemasan disumbang peningkatan kes NCD kesan pandemik COVID-19

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Punca kesesakan yang berlaku di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital kerajaan dipercayai disumbang peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) kesan daripada pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihak kementerian mengambil perhatian serius berhubung isu kesesakan di hospital dan klinik kesihatan, serta memahami kesusahan dialami pesakit dan petugas kesihatan yang bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik dalam keadaan itu.

“Kesesakan di ETD bukan baharu, sebaliknya isu diwarisi sejak sekian lama. Namun mengikut data diperoleh daripada Pusat Informatik Kesihatan (PIK) di Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan (KKM), kita melihat satu trend peningkatan kehadiran pesakit di ETD dan ini berpunca daripada pelbagai faktor.

“Salah satu faktor adalah kesan daripada pandemik COVID-19 di mana kes seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya semakin meningkat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat hari ini.

Kelvin meminta KKM menyatakan rancangan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan seluruh negara.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, KKM sudah merangka tujuh langkah dalam menangani permasalahan itu menerusi pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada dalam kementerian.

Atas tujuan ini, katanya, dia sendiri turun ke lapangan dan akan bertemu dengan pengarah kesihatan negeri serta pengarah hospital untuk mendengar dan memahami isu di setiap Jabatan Kecemasan secara spesifik dan mencari penyelesaian bersama, bagaimana KKM dapat menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh setiap hospital.

“KKM juga akan mengaplikasikan ‘Lean Healthcare’ (pendekatan untuk menjalankan sebuah organisasi yang menyokong konsep penambahbaikan berterusan) yang melihat kepada keseluruhan proses kerja bagi mengurangkan aktiviti yang tiada nilai tambah demi meningkatkan efisiensi.

“Proses berulang yang menjejaskan pergerakan pesakit dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali bagi memastikan aliran pesakit berjalan lancar. Ini membantu memendekkan masa menunggu sekali gus mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan klinik pakar,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti penambahbaikan dilakukan menerusi inisiatif Lean Healthcare menyasarkan pengurangan waktu menunggu untuk berjumpa doktor, bermula dari kaunter pendaftaran sehinggalah pesakit mengambil ubat di farmasi dan juga masa menunggu katil untuk pesakit yang perlu dimasukkan ke wad dari Jabatan Kecemasan.

“Antara contoh pelaksanaan adalah di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang dapat mengurangkan masa menunggu pesakit dari 192 minit kepada 88 minit (secara purata), manakala di wad perubatan pula dapat mengurangkan masa menunggu pesakit untuk discaj dari 360 minit kepada 180 minit,” katanya.

Dr Zaliha berkata, Projek Short Stay Unit (SSU) yang memfokuskan pesakit stabil yang memerlukan rawatan kurang 72 jam juga membantu mengurangkan waktu menunggu untuk mendapatkan katil bagi pesakit kes ringan yang memerlukan pemantauan jangka pendek di hospital, seterusnya mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan mengurangkan waktu pesakit di hospital.

Katanya, inisiatif lain seperti pelaksanaan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat di peringkat hospital yang bertanggungjawab dalam pengurusan katil dan aliran pesakit secara berpusat (sama ada pesakit kecemasan dan elektif) daripada proses kemasukan, discaj, pemindahan dalaman dan antara fasiliti.

“Pengurusan katil yang cekap dan efektif dapat mengurangkan masa menunggu pesakit di Jabatan Kecemasan untuk mendapatkan katil, seterusnya mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan.

“KKM memperkasakan BMU melalui Sistem CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis) Hospital yang mempunyai papan pemuka kapasiti katil hospital bagi melancarkan pengurusan aliran pesakit dalam,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini