KAMPAR: Sepasang suami isteri terpaksa membiarkan tiga anak mereka keciciran dan tidak pernah mendapat pendidikan formal akibat kesempitan hidup.
Malah ketiga-tiga mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Menurut Mashitah Kamarulzaman, 39 anaknya, Mohamad Harudin Hariandi, 22, Nur Ashikin Hariandi, 21, dan Mohamad Haikal Hariandi, 9, langsung tidak pernah bersekolah seperti rakan sebaya mereka.
Bagaimanapun, dia mengakui masalah itu berpunca daripada sikap dia dan suaminya, Hariandi Dimun, 40, yang bersikap sambil lewa dan tidak hantar borang sijil kelahiran ketiga-tiga anaknya itu.
“Memang salah akak (Mashitah) dan suami jugalah sehingga anak tak sekolah, masalah akak pun tak pandai nak membaca dan menulis.
“Seorang lagi anak (Nur Qaseh Ashika Hariandi, 13) memiliki kad pengenalan atas inisiatif ibu saudara, namun sudah hampir sebulan tidak bersekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Mashitah berkata, dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan harian RM40, manakala suaminya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan tidak tetap untuk menyara hidup mereka sekeluarga.
Dia juga perlu menanggung ibunya, Maimunah Arif, 61, yang terlantar sejak 2021 akibat kanser ovari tahap tiga serta empat lagi anak saudaranya, Nur Alina Alisya Abdullah, 10; Mohd Zafril Zaqwan Abdullah, 9; Mohd Akim Abdullah, 4; dan Nurfasya Iswana Abdullah, 2.
Menurutnya, ibu kandung kepada anak saudaranya, iaitu adik perempuannya kini menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah Mohd Azlan Helmi Helmi, ketika melawat keluarga Mashitah berkata, beberapa agensi berkaitan mengambil maklum situasi yang dihadapi keluarga itu dan mengambil tindakan segera.