comscore
Tumpuan :
Nasional

Keselamatan anggota MALBATT di Lubnan diberi keutamaan

Foto hiasan

TAIPING: Keselamatan anggota tentera Malaysia, Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan susulan ketegangan ke arah peperangan yang melanda negara itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, segala kemungkinan diambil kira dalam memastikan keselamatan anggota tentera Malaysia.

“Kita mengambil kira semua pilihan. Walaupun kita tahu bahawa kita di bawah payung UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tetapi dalam masa sama, semua kemungkinan kita akan ambil kira dan yang paling penting adalah keselamatan anggota.

“Kita melihat perkembangan semasa dan kita akan buat keputusan berdasarkan pilihan yang ada tetapi terasnya adalah kita mengambil kira keselamatan anggota,” katanya selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (PUVET ATM) Siri 2/2024 di sini, semalam.

Adly Zahari pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) 2024 di Taiping. – FOTO: NSTP

Adly ditanya sama ada Kementerian Pertahanan berhasrat membawa pulang anggota MALBATT 850-11 yang kini terbabit dalam misi pengaman di Lubnan memandangkan negara itu menuju ke arah peperangan.

Khamis lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, setakat ini tiada keperluan membawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan susulan konflik Palestin-Israel yang semakin meruncing.

Mohamad dilapor berkata, walaupun keadaan di Lubnan kini merisaukan, namun keadaan semasa masih terkawal dan pihaknya sentiasa meneliti perkembangan di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitar terutama berlaku ketegangan serta pembunuhan rakyat di Lubnan berikutan konflik itu.

Sebelumnya, agensi berita antarabangsa melaporkan beberapa negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini