Tumpuan :
Nasional

Kesejahteraan doktor, kakitangan penjagaan kesihatan keutamaan Presiden MMA baharu

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Isu doktor kontrak, kesesakan di fasiliti penjagaan kesihatan, pengagihan salah kakitangan penjagaan kesihatan, kekurangan pakar, imbuhan dan laluan kerjaya doktor muda antara isu utama akan diperjuangkan Dr Azizan Abdul Aziz yang dilantik Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) baharu, mulai semalam.

Dr Azizan adalah bekas Timbalan Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Agung Kehormat MMA, dilantik sebagai Presiden menggantikan Dr Muruga Raj Rajathurai.

Dalam ucapan sulung sebagai Presiden MMA baharu, beliau juga memberi jaminan akan terus membangkitkan masalah persekitaran kerja, keseimbangan kehidupan kerja doktor untuk mengelak keletihan dan pendigitalan penjagaan kesihatan bagi memastikan isu penjagaan kesihatan awam perlu ditangani sebaiknya demi kebaikan semua pihak.

Katanya, penjagaan kesihatan awam tidak seperti jabatan perkhidmatan awam yang lain kerana pekerja penjagaan kesihatan sering bekerja lebih masa bagi mengutamakan keperluan pesakit lebih dulu.

“Kesejahteraan doktor dan semua kakitangan penjagaan kesihatan dalam sistem penjagaan kesihatan awam harus dianggap keutamaan untuk memastikan kualiti penjagaan tertinggi di negara ini dikekalkan.

“Ini kerana pekerja penjagaan kesihatan di sektor awam diamanahkan dengan tanggungjawab menjaga peratusan tinggi iaitu lebih 70 peratus penduduk bergantung kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan awam untuk keperluan kesihatan mereka,” katanya.

Menurut Dr Azizan, beliau tidak sabar berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencari penyelesaian isu membabitkan kesihatan awam ini kerana ia perlu ditangani dalam usaha menambah baik penyampaian penjagaan dan sistem perkhidmatan kepada masyarakat.

“Isu dihadapi pengamal perubatan swasta juga akan menjadi antara keutamaan saya selepas ini,” katanya.

Loading...
Terkini