comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesan tapak kaki kemungkinan jejak pelancong hilang

Pasukan operasi mencari dan menyelamat mendengar taklimat mengenai operasi mencari pelancong warga India yang hilang di Gunung Jasar, Cameron Highlands. – Foto ihsan JBPM

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong dari India yang hilang sejak 22 September lalu ketika mendaki Gunung Jasar di Cameron Highlands yang disambung hari ini, menemukan kesan tapak kaki berkemungkinan jejak mangsa.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, team D yang melakukan pencarian di sekitar Sungai Ubi membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menemukan kesan tapak kaki serta kesan dilalui orang.

“Komander Ops menganggap berkemungkinan jejak mangsa, pencarian hari ini telah fokus dalam radius lima kilometer, membabitkan kawasan denai di mana mangsa bermula di Gunung Jasar dan Kampar PAS menghala ke Bharat Tea,” katanya melalui satu kenyataan.

Zufadli berkata, sasaran pencarian adalah sekitar 500 meter dari Gunung Jasar menggunakan kaedah sweeping kiri kanan denai secara menyeluruh.

Bagaimanapun SAR dengan kekuatan lebih 70 anggota itu ditangguhkan petang tadi dan perancangan operasi esok akan memfokuskan kawasan menghala jejak dikesan, iaitu 500 meter dari puncak Gunung Jasar.

“Pencarian juga akan memfokuskan kawasan cerun dan ‘off trail’ atau luar denai di sekitar kawasan yang mempunyai jejak,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar di Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September lalu.

Mangsa mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House di Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.

Siasatan awal polis mendapati pada 22 September, mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar di Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata. – BERNAMA

Loading...
Terkini