comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesalahan seksual kanak-kanak meningkat 26.5 peratus – DOSM

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 26.5 peratus atau 1,567 kes pada 2023 berbanding 1,239 kes pada 2022.

Dapatan itu didedahkan dalam Statistik Kanak-Kanak, Malaysia, 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Berdasarkan statistik tersebut, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, jenis kesalahan seksual tertinggi adalah amang seksual secara fizikal, diikuti amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak.

“Kesalahan amang seksual secara fizikal pada 2023 merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022.

“Kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-masing merekodkan 91 kes dan 67 kes pada 2023,” katanya dalam kenyataan.

Kesalahan lain adalah komunikasi secara seksual dengan kanak-kanak iaitu 16 kes dan pengantunan kanak-kanak sebanyak empat kes.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Uzir, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 kanak-kanak berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022.

Bilangan kanak-kanak perempuan mencatatkan lebih ramai yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 5,418 orang berbanding kanak-kanak lelaki iaitu 3,118 orang.

“Namun, kanak-kanak lelaki yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan peningkatan lebih tinggi iaitu 26.4 peratus berbanding kanak-kanak perempuan (25.9 peratus) dalam pada tempoh yang sama (tahun 2023 berbanding 2022),” katanya.

Sementara itu, dari segi tahap kesihatan, kanak-kanak didapati ‘certain conditions originating in the perinatal period’ kekal menjadi sebab kematian utama bagi kanak-kanak kurang daripada 5 tahun pada 2023 dengan 36.4 peratus.

Ia diikuti ‘congenital malformations, deformations and chromosomal abnormalities’ (27.5 peratus), pneumonia (2.6 peratus), ‘transport accidents’ (1.5 peratus) dan meningitis (0.7 peratus).

Dari aspek pengambilan pelalian pula, jelas Mohd Uzir, liputan bagi semua jenis pelalian kepada bayi semakin baik pada 2023.

“Hepatitis B mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 10.6 mata peratus kepada 107.7 peratus berbanding 97.1 peratus pada 2022.

“Ini diikuti oleh Poliomyelitis (Polio); Diptheria, Tetanus & Pertussis (DTP) dan Haemophilus Influenzae type B (HIB) masing-masing meningkat sebanyak 10.5 mata peratus kepada 107.7 peratus berbanding 97.2 peratus pada 2022.

“Manakala, Bacillus CalmetteGuerin
(BCG) merekodkan peningkatan terendah iaitu 1.0 mata peratus kepada 98.7 peratus (2023) berbanding 97.7 peratus (2022),” katanya.

Selain itu, dari aspek pendidikan, bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan meningkat 4.6 peratus daripada 4,962.9 ribu murid (2022) kepada 5,192.6 ribu murid (2023).

Trend sama turut dilihat di sekolah swasta apabila bilangan murid pada 2023 mencatatkan peningkatan 3.6 peratus kepada 442.9 ribu murid daripada 427.6 ribu murid pada 2022.

Menurut Mohd Uzir, kanak-kanak merupakan aset negara bagi penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan.

Berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah berjumlah 9.14 juta, iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia (34.06 juta).

Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing ialah 4.72 juta dan 4.42 juta.

Sementara itu, komposisi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun pada 2024 ialah 2.36 juta atau 6.9 peratus daripada jumlah kanak-kanak di negara ini, iaitu 1.22 juta lelaki dan 1.14 juta perempuan.

“Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2024 iaitu 40.5 peratus daripada jumlah penduduk Putrajaya, 0.12 juta.

“Ini diikuti oleh Kelantan (34.0 peratus) dan Terengganu (33.2 peratus) manakala Kuala Lumpur mencatatkan peratusan terendah iaitu 21.6 peratus.

“Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi iaitu 1.83 juta diikuti oleh Sabah (1.12 juta) dan Johor (1.11 juta),” katanya sambil menambah bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun paling rendah direkodkan di Labuan iaitu 0.03 juta.

Loading...
Terkini