PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merasa dukacita dengan isu penjualan stokin bertulis kalimah Allah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, terdapat pihak yang menyatakan jangan terlalu sensitif berkenaan isu ini namun disebabkan kalimah Allah ia sesuatu yang sangat tinggi di mata umat Islam.
Menurutnya, Allah adalah pencipta kita dan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan dan kita tidak boleh meremehkan isu itu.
Katanya, syarikat yang bertanggungjawab KK Supermart juga sudah menghantar permohonan maaf atas apa yang terjadi dan kemaafan itu kita harap tidak akan berulang pada masa depan.
Katanya,pada masa depan kita harap bukan saja syarikat ini sahaja untuk tidak mengambil remeh bahkan mana-mana jabatan audit perlu pastikan terlebih dahulu barangan yang ingin diimport dan dijual di negara ini.
“Perkara sensitif melibatkan umat Islam sukar untuk dimaafkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan dan syarikat KK Supermart serta pemborong perlu ambil iktibar atas apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita, pada Pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah, di beberapa kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart).
Mohd Na’im berkata, isu ini sangat sensitif dan kena beri ruang kepada umat Islam yang masih dalam keadaan marah dan laporan polis juga sudah dibuat.
Menurutnya, beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak pengurusan KK Supermart untuk berbincang dan jalankan siasatan.
Katanya,pihaknya mahu pastikan perkara ini tidak akan berulang dan umat Islam dinasihatkan agar bertenang.
“Beri kepercayaan kepada pihak berkuasa jalankan siasatan dan mengenalpasti pasti punca sebenar dan diharap kepada pihak yang terbabit selepas minta maaf jangan ulang perkara sama termasuk melibatkan isu 3R,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.