comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis buka kertas siasatan penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan

KUALA LUMPUR: Siasatan berkaitan penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika mengesahkan perkara itu, berkata kertas siasatan juga sudah dibuka dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, polis sudah menerima dua laporan polis dengan satu daripadanya dibuat ahli keluarga mangsa (Zayn Rayyan) dan satu lagi laporan polis oleh pegawai penyiasat kes,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, katanya orang ramai diminta tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu didapati berkongsi kandungan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam keluarga Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin mengesahkan pihak keluarga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang pada, pada jam 6.40 petang semalam.

Katanya, buat masa ini pihak keluarga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Polis juga sudah memaklumkan akan bekerjasama dengan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) untuk menurunkan kandungan terbabit.

“Keluarga (Zayn Rayyan) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan namun jika kandungan itu masih tersebar di media sosial pihaknya akan mengambil tindakan seterusnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Semalam, BH melaporkan Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama MCMC berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan, 6, di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Katanya, penyebaran maklumat yang tidak sahih itu boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.

Berikutan itu, pihaknya akan berhubung dengan pihak MCMC untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan termasuk menurunkan kandungan berkenaan yang dikesan dimuat naik di satu akaun di Telegram, kelmarin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

|  ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini