KUALA LUMPUR: Siasatan kes pembunuhan Allahyarham adik Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, Disember lalu, masih aktif dan tidak pernah ditutup.
Tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pihaknya sentiasa menantikan petunjuk baharu untuk meneruskan siasatan.
“Seperti yang selalu saya katakan, kita tak pernah tutup mana-mana kes, kes kini menantikan petunjuk baru, namun malang sekali, selepas ganjaran ditawarkan pihak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) pun kami tidak menerima petunjuk baru.
“Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi macam saya sebut kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah hutang saya kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini kes Zayn Rayyan.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata dia juga secara peribadi masih berharap ada sinar dalam kes pembunuhan adik Zayn Rayyan dan pegawai juga masih turun ke lapangan mencari petunjuk baharu.
“Kita harap kes ini masih ada sinar dan perlu diketahui lokasi itu (Zayn ditemui) sebenarnya bukan lokasi sebenar pembunuhan dilakukan dan kehadiran orang ramai ketika kejadian itu, berkemungkinan memusnahkan bukti-bukti yang ada. Berkemungkinan,” katanya.
Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Petaling Jaya, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.