Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA: Kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu, terus diselubungi misteri sehingga kini.
Pelbagai spekulasi dan tanda tanya berhubung kehilangan wanita terbabit tetap timbul meskipun hampir dua tahun berlalu.
Zalina dilaporkan hilang pada 29 november 2021 selepas gagal dihubungi oleh anaknya Mikhael Norman yang cuba memaklumkan bapa personaliti itu dimasukkan ke hospital.
Lebih misteri apabila Zalina dikatakan keluar sehelai sepinggang berdasarkan penemuan dompet, wang tunai dan kereta di kediamannya.
Persoalan yang bermain sehingga kini apa sebenarnya yang berlaku?
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis tidak pernah menutup kes berkenaan walaupun tiada petunjuk baharu diperoleh.Sebaliknya usaha menjejaki bekas personaliti itu tetap diteruskan dengan bantuan seluruh kontinjen.
“Untuk semua IPD pun saya rasa berita ni pun dah cukup sensasi berkaitan dengan kehilangan Zalina ni dan for sure rakyat malaysia pun tertunggu-tunggu”.
Pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan, dan Bank Negara, bagi mengesan pergerakan wanita berkenaan.
Malangnya semua itu tetap tidak dapat merungkai keberadaan Zalina.
“Untuk setakat ni siasatan kita dah ambil lebih kurang 25 statement melibatkan ahli keluarga,jiran dan juga saksi awam bebas yang mungkin potentially ada maklumat berkaitan dengan Zalina ni tapi unfortunately maklumat ni tak membantu lagi ke arah untuk Zalina ditemui”.
Selain keluarga, turut terkesan adalah kenalan rapat zalina yang pernah bekerja di bawah satu bumbung suatu masa dahulu. Mereka sama sekali tidak menyangka individu yang pernah diberi jolokan “hos wanita paling terkenal” hilang tanpa jejak.
Bagi senator Datuk Ras Adiba Radzi , beliau dan rakan-rakan tidak pernah berputus asa mencari Zalina dan sentiasa mengharapkan kepulangannya.
“Secara peribadi akak pergi juga mana-mana akak travel pun akak pergi akak bertanya orang .Yang penting sekarang ini ialah apabila Zalina dia dalam keadaan yang sukar pergi sahaja ke balai polis terdekat dan sekiranya dia sakit pergi sahaja ke hospital dan beritahu hey saya Zalina Azman kita akan membantu dan menerima beliau”.
Sejurus berita kehilangan Zalina tersebar, beliau antara yang giat menggerakkan misi pencarian.
Harapan sama turut diluahkan Zahir Kelvin Ong Abdullah yang pernah mengendalikan program Money Matters bersama Zalina. Jelasnya, kali terakhir mereka berhubung adalah pada September 2020.
“Zalina seorang yang sangat menjaga privasinya. Kawan-kawanya juga dalam kelompok kecil tidak kira di pejabat mahupun di luar.Sudah pasti kita mendoakan kepulangan Zalina dalam keadaan selamat dan berharap mesej ini sampai kepadanya supaya dia tahu bahawa kita sedang mencarinya dan orang sekeliling mengambil berat terhadapnya.”
Yang pasti, baik keluarga dan rakan terdekat, kepulangan Zalina amat dinantikan.